Kita tidak perlu pergi jauh untuk melihat sendiri kenapa PKR merupakan sebuah parti yang tidak layak menerima sebarang undi di pilihanraya yang terdekat di dalam kelompok Pakatan Rakyat. PKR sebuah parti yang pada mulanya dilihat sebagai mampu menjadi wadah perjuangan rakyat berjiwa demokratik dan progresif kini saban hari, langsung setiap detik bergerak dan berubah menjadi parti yang tidak lainnya sama seperti UMNO and Barisan Nasional. Yang berbeza hanyalah warna kumpulan mereka. Gerak-geri, akal and paelnya tetap sama. Mungkin inilah akibatnya bila rata-rata pimpinan dan keahlian parti itu merupakan gerombolan mereka yang kecewa daripada parti yang lain jesteru menganggotai PKR atas kedangkalan ideologi.
Kepincangan ideologi PKR ini amat mengecewakan dan merupakan asas utama mengapa undian tidak boleh diberikan kepada mereka di dalam PKR. Mungkin di dalam bandar sekadar satu dua kerusi tetapi untuk dinobatkan sebagai peneraju Kerajaan Persekutuan Malaysia (dengan sokongan kerusi Malaysia Timur), tidak boleh. Mungkin selepas 30 tahun lagi bila mana ia telah mencapai kematangan sebagai sebuah parti politik berideologi dan bukannya sebuah parti politik untuk meletakkan seorang insan tertentu sebagai PM.
Bagi orang Malaya, pilih sajalahlah PAS atau DAP ataupun PSM. Pimpinan parti-parti selain PKR ini telah lama bertapak di persada politik negara dan berjuang berasaskan ideologi mereka yang kukuh. (Lebih jelek lagi jika ada yang bercita-cita mengundi KITA ataupun mungkin Amanah ataupun Perkasa. Mintak simpang malaikat 44! Mereka itu sama saja macam PKR.)
Pendapat saya ini bukanlah baru. Hatta saya telah menulis berapa kali melalui laman blog saya ini sejak beberapa tahun yang lalu. Memang saya amat kecewa dengan keterampilan pimpinan PKR yang langsung tidak mencerminkan semangat untuk membawa sebarang bentuk pembaharuan di dalam suasana politik tanahair dan juga tidak pula menonjolkan sedikit keazaman untuk memberikan pencerahan minda dan melonjakkan tatacara untuk mengumpil anak watan membantu membentuk sebuah masyarakat yang dinamik, progresif and bersedia untuk terus membawa nusa ketahap maju.
Mengapa saya berpendapat begitu?
Contoh pertama dan terbaru, di dalam ucapan dasarnya, seorang ketua PKR ini telah dilaporkan berkata yang beliau mahukan sistem raja berpelembagaan itu dimartabatkan semula. Menurutnya, sistem beraja mampu menjadi ‘pengimbang dan penegak ketertiban dengan mengambil peranan aktif menyekat sebarang tindakan melampau’. Bunyi memang sedap dan mampu melindung kedangkalan pemikiran yang bercanggah dengan prinsip keadilan di sebalik kata-kata politikus itu. Siapakah pula yang akan memeriksa tindakan raja itu? Apakah tindakan raja itu tidak akan dibayangi hawa nafsu raja tersebut? Apakah raja melayu itu – ada yang tidak berketurunan melayu jati, akan sentiasa memberikan keputusan yang adil dan tidak punya kesilapan? Kalau sistem sekarang tidak baik, bukankah bermakna ada sesuatu yang kekal sejak dulu lagi yang tidak baik? Jika diibaratkan umpama radio buruk yang tidak lagi berbunyi dengan jelas sedangkan arialnya telah beberapa kali ditukar ganti, bukankah bermakna ada komponen lain yang perlu ditukar juga? Demokrasi yang telus dan tulen yang berlandaskan ketuanan rakyat tidak mungkin tercapai jika kelompok yang menganggap mereka itu adalah ‘tuan’ kepada rakyat berterusan wujud dan berkuasa tanpa diperiksa oleh sesiapa. Bagaimana untuk menimbang cara mereka? Cita-cita untuk berubah bukanlah sekadar bayangan perubahan yang digembar-gemburkan oleh politikus. Apa yang hendak diubah dan kaedah untuk berubah mestilah diperjelaskan. Oleh kerana semua parti politik sekarang tidakpun mengariskan bagaimana mereka akan memgubah kaedah yang mengkorupkan ini, maka sebenarnya tiada mana-mana satupun antara mereka layak menerima undi jika kita mahukan pembaharuan yang menyeluruh, komprehensif and adaptif untuk membawa tanahair maju kehadapan.
Keduanya, setelah bertahun-tahun berpolitik, pimpinan PKR masih lagi meletakkan matlamat mereka meletakkan DSAI sebagai PM. Walaupun tidak tercatat di dalam Buku Jingga, laungan demi laungan diperdendangkan mengenai DSAI sebagai PM. Apakah PM DSAI akan menyelesaikan segala permasahalahan negara? Apakah nilai-nilai kuno UMNO lenyap daripada DSAI? Apakah nilai-nilai kuno lenyap daripada penyokong dan pengampu beliau? Apakah nilai-nilai tidak demokratik BN lenyap daripada mereka yang merajuk lalu berbondong-bondong memasuki PKR dan seterusnya diletakkan sebagai pemimpin, wakil rakyat dan ahli parlimen? Dengan dendangan laungan yang menyeru kepada pihak ketiga untuk aktif berpolitik, memperbetulkan politikus atau pentadbiran yang dianggap tidak betul bermakna pemimpin yang membuat seruan itu sendiri tidak faham prinsip keadilan dan hak kebebasan insan di dalam ruanglingkup kerajaan sekular dan demokratik. Bagaimana wujudnya pihak ketiga – yang sejarahnya membuktikan yang mereka itu amat korup dan mudah dipengaruhi pihak luar, di antara mana-mana dua pihak yang berusan sesama mereka – yakni politikus dan rakyat, mampu menjamin pemacuan ekonomi yang mapan dan tinggi? Apakah ketirisan yang dianggarkan RM28 billion setahun itu akan lenyap dengan mengekalkan dan mempertahankan pihak ketiga yang fuedal? Kenapa kita harus letakkan kepercayaan kepada seorang yang bertanggungjawab mengadaikan seluruh aset rakyat kepada golongan elit dan berhasrat untuk menggunakan wang rakyat sekali lagi untuk membeli semula aset-aset yang telah diswastakanya dulu? Sanggupkan rakyat dipertanggungkan kos memperbetulkan kesilapan seorang Menteri Kewangan lampau?
Ketiganya, mengapa ‘melayu’ masih menjadi kayusukat dan kayularas di dalam parti yang memperjuangkan prinsip keadilan sejagat? Jika dilihat dari laporan isu-isu semasa, jelas memperlihatkan perbedaan pendapat, pemikiran, dan kaedah antara PKR melayu dan yang bukan melayu. Maka, benarkah realiti ini menjamin suasana yang lebih baik daripada perhubungan melayu, cina dan india di dalam BN melalui UMNO, MCA, Gerakan dan MIC? Mengapa perlu dicabar UMNO untuk menjanjikan ‘melayu’ kekal PM sedangkan mereka telah meletakkan PM melayu yang bersilih ganti sejak merdeka sedangkan PKR masih hanya bermimpi-mimpi untuk meletakkan DSAI sebagai PM melayu pertama? Ini tidak masuk akal! Ada banyak lagi permasalahan yang menimpa rakyat khususnya di Johor malangnya pemimpin PKR memilih isu ini untuk diketengahkan. Mengapa isu ‘Melayu’ diperdendangkan senada dengan isu memartabatkan raja? Ini menunjukkan pemimpin hanya fokus kepada cara untuk ke Putrajaya dan bukanya untuk menyelesaikan masalah rakyat. Belas ehsan raja sebagai pihak ketiga amat diperlukan untuk menjamin kerusi utama di Wisma Perdana lebih-lebih lagi bilamana orang yang hendak duduk dikerusi berkenaan memerlukan pengampunan raja untuk menjadi PM yang sah. Maka, ini menunjukkan tiada bezanya dengan Perkasa yang memperkudakan isu melayu sebagai modal meraih sokongan demi kelangsungan politik semata yang lazim maha mengetahui yang mereka hanyalah proksi kepada UMNO dan BN. Jangan di tanya UMNO di mana ‘melayu’ sebagai PM sebaliknya apa yang patut ditanya ialah di manakan takrifan melayu itu di dalam PKR sekaligus PR dan apakah rancangan untuk membetulkan maksud ‘melayu’ itu di dalam Buku Jingga. Apakah dengan kesanggupan meletakkan PM Melayu itu memberikan keadilan sosial dan membanggunkan insan secara menyeluruh? Apakah dengan adanya PM Melayu itu boleh meyakinkan kalangan negara ASEAN untuk menerima Bahasa Melayu sebagai Lingua Franca? Kekeliruan dan ketidakfahaman tentang takrif melayu itu diperlihatkan dengan jelas juga di dalam masalah PPSMI yang mana PKR menyokong pemansuhannya dan tidak pula membentangkan sebarang penyelesaian menyeluruh mengenai kadeah pendidikan negara. Pemikiran yang tidak demokratik turut dipertontonkan lagi bilamana PKR menyokong Menteri Pendidikan yang merampas hak ibubapa untuk memilih corak pendidikan yang sesuai untuk anak mereka. Apakah ini yang dimaksudkan di bawah objektif ketiga Buku Jingga? Apakah seorang menteri daripada PKR tidak akan menrampas hak rakyat untuk membuat keputusan di dalam hal yang bersangkutan dengan pendidikan dan cara hidup mereka? Sudahkah kita lupa siapa yang memulakan kempen Cintai Bahasa Kita sehinggakan bahasa lain diabaikan terus di dalam sistem pendidikan? Selagi ada pemimpin yang memainkan kata ‘melayu’ itu dan dilunakkan dengan ‘raja’ bermakna mereka masih lagi mempunyai elemen feudal yang tidak mungkin boleh bertukar dan tidak sama sekali mungkin dapat memimpin berasaskan konsep keadilan sosial dan ketuanan rakyat.